Hati Oh Hati….

Kita selalu bertanya tentang keadaan kesihatan zahir tapi kita tetapi sering mengabaikan keadaan hati nurani kita. Kita sanggup menghabiskan duit ratusan ribu untuk mengubati penyakit zahir tetapi tidak mempedulikan kesihatan hati kita sedangkan tuhan hanya menerima hati kita . Firman Allah swt:

“ Pada hari tidak bergunanya harta dan anak pinak kecuali yang berjumpa dengan tuhan dengan hati yang sejahtera.”

Hati yang sihat adalah hati yang mempunyai perasaan semasa melakukan ibadat. Orang yang memiliki hati yang sihat akan merasai kemanisan dalam ibadahnya.

Ibnul Qayyim berkata:“Periksalah hatimu pada tiga keadaan : ketika kamu membaca al-Quran, ketika dalam majlis zikir dan ketika kamu bersendirian dengan tuhan. Sekiranya kamu dapati hati kamu kosong maka hendaklah kamu meminta pada Allah menganugerahkan hati pada mu. Sesungguhnya kamu tidak ada hati.”

Hati yang sihat adalah hati yang gementar apabila disebut nama tuhan . Hati yang terkesan dengan bacaan al-Quran. Hati yang teruja bila mendengar azan. Hati yang takut apabila disebut api neraka tuhan. Firman Allah swt:

“ Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah orang-orang yang yang gementar hati mereka bila disebut nama Allah, bertambah iman mereka apabila dibacakan ayat2 Allah swt dan berserah hati mereka pada tuhan.” (Ayat 2 surah al-Anfal)

Hati yang sihat adalah hati yang sentiasa mengambil ibrah (pengajaran) pada setiap kejadian tuhan. Firman Allah swt:

“ Sesungguhnya kejadian langit dan bumi serta silih ganti siang dan malam adalah tanda2 kepada orang-orang yang berakal.” (Ayat 190 surah ali Imran)

Sesungguhnya otak yang berfikir tentang kejadian tuhan dan sentiasa mengambil pengajaran adalah dari hati yang sihat. Firman Allah swt:

“ Mengapakah mereka tidak berjalan di atas muka bumi supaya mereka memiliki hati yang berakal untuk memahami atau mempunyai telinga yang mendengar untuk menerima. Sesungguhnya bukan mata yang buta tetapi hati yang ada di dada itu yang buta.” (46 : 22 surah al-Hajj)

Sebenarnya apa yang berlaku setiap hari pada diri kita dan sekeliling kita ada mempunyai banyak pengajaran. Sebanyak mana pengajaran yang boleh diambil setinggi itulah tahap kesihatan hati kita.

Contohnya:

Suatu hari hasan a-basri diberi air untuk dia berbuka puasa. Bila air itu hampir dengan mulutnya beliau menangis. Beliau berkata “ Aku teringat akan keinginan ahli neraka seperti yang disebut dalam Quran:

“ Berilah hai ahli syurga , air minum untuk kami …” (50 : al-A’raf)

Namun jawapannya:

“ Sesungguhnya Allah mengharamkan air dan rezki untuk orang kafir.” (50 : al-A’raf)

Hati yang sihat akan menyebabkan mulut yang baik. Mulut yang baik adalah mulut yang sentiasa menyebut nama tuhan dan tidak mengumpat, memaki, menyebar keaiban orang, mengeluh dan sebagainya.

Nabi saw bersabda:

“ Tidak lurus iman seseorang sehingga lurus hatinya dan tidak lurus hatinya sehinggalah lurus lidahnya.”

(Hr Hakim)

Hati yang sihat adalah hati yang khusyuk dalam ibadatnya dan hati yang sentiasa menerima kebenaran walaupun ia pahit. Firman Allah swt:

“ Bilakah masanya untuk orang2 beriman untuk khusyuk hati mereka bagi mengingati Allah dan menerima kebenaran yang Allah turunkan…” (16 : alFatir)

Hati ini sentiasa terdetik nama Allah. Sebanyak mana kamu mengingat sesuatu setinggi itulah kasihmu padanya. Sekiranya hatimu banyak menyebut nama tuhan itu tanda kasihmu padanya adalah benar2 wujud. Kalau hati lebih banyak menyebut tentang wanita, takhta, kerja, periksa, harta, kereta atau dunia maka dakwaan cintamu pada tuhan adalah bohong.

Hati yang sihat adalah hati yang banyak runsing tentang hal akhirat dan masalah umat Islam.

Kita lihat Nabi bersabda:

“ Surah Hud dan saudara2nya telah menyebabkan kepalaku beruban.”

Ini kerana surah-surah ini (Hud, an-Nazia’at dan al-Mursalat) mengandungi tentang kisah Nabi2 yang terdahulu, kisah tentang neraka dan kisah umat-umat yang derhaka.

Allah menempelak manusia yang banyak pengetahuan dunia tetapi jahil dan lalai tentang akhiratnya.

“ Mereka mengetahui tentang hal ehwal dunia tetapi lalai dengan akhirat mereka.” Ar-Rum ayat 7

Kita tahu tentang nama benda yang kecil dan mikro dalam tubuh manusia, dalam komputer, dalam kereta tetapi tidak tahu berapa lama api neraka dipanaskan, berapa kali ganda api neraka dr api dunia, apakah nama2 makanan dan minuman ahli neraka dan lain2.

Kita tahu nama2 artis , nama pemain bola dan nama selebriti tetapi kita tidak tahu apakah nama binatang yang menyeksa manusia di akhirat.

Kenapa kena baca surah Kahfi?

Nabi saw bersabda;”
Barangsiapa yang menghafaz 1-10 ayat dari surah Al-Kahfi di pelihara dan di selamatkannya dari Fitnah Dajjal ‘. (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, An-Nasaie)

Disunnahkan membaca surah Al-Kahfi pada siang hari atau malam harinya (Jumaat) sebagaimana pendapat Imam Syafi’i (Lihat Al-Adzkar oleh Imam Nawawi).

Seorang muslim yang menghafal sepuluh atau tiga ayat pertama dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal, atau siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dan sepuluh ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.

Dalilnya adalah hadits dari Abu Darda radliallahu `anhu dari Nabi berkata:
“Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat pertama dari surah Al- Kahfi terjaga dari fitnah Dajjal.”
(HR. Muslim, Abu Dawud, Nasai, Tirmidzi)

Pada lafadz Tirmidzi: “Barangsiapa menghafal tiga ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”

Dia berkata: “Hadits hasan.”

Pada hadits yang diriwayatkan dari Imam Ahmad dari Abu Darda radliallahu `anhu bahwa Nabi SAW berkata; “Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”

Hadits tersebut juga diriwayatkan oleh Muslim dan Nasai dari Qatadah radliallahu `anhu.

Dan pada lafadz Nasai menyatakan:
“Barangsiapa membaca sepuluh ayat (mana saja) dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”

Hadis daripada Anas bin Malik pula Baginda bersabda:

“Keluar Dajjal daripada Yahudi Asfahan bersamanya 70,000 orang yahudi,”.

Pada hadits yang marfu’ dari Ali bin Abi Thalib:
“Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jum’at maka ia akan dijaga dari setiap fitnah sampai delapan hari walaupun Dajjal keluar ia akan tetap terjaga dari fitnahnya.”

Disiplin Mencegah Kemungkaran

Globalalisasi kini menghadapi bencana yang amat buruk dari perlakuan kemungkaran yang berleluasa. Bahkan, lebih mengecewakan lagi, ramai dikalangan muslimin kini hanya mempunyai nilai “menyuruh orang buat baik” tanpa memberi perhatian kepada “melarang dari berlakunya kemungkaran”. Malahan, masalah yang lebih berat lagi telah muncul apabila kemungkaran tidak dapat diuruskan dengan disiplin yang tepat agar keadilan kepada semua pihak tercapai.
Manusia sememangnya mempunyai nilai sensitiviti tinggi terhadap permasalahan yang mengakibatkan perasaan :
Situasi : Seorang wanita yang sedang sarat mengandung mempunyai tenaga yang sangat lemah dan tidak berdaya, tanpa belas kasihan, beliau diperlakukan dengan teruk oleh seorang pencuri sehingga mengakibatkan nyawanya melayang.

Nampak tragis bukan? Jika kita menyaksikan situasi pada ketika itu, pastinya kita akan bangkit bangun menyuarakan keadilan atas kematian wanita tersebut, mungkin juga dibenak fikiran kita, terlintas untuk membunuh pencuri tersebut dengan cara yang sama pada masa itu juga! Namun, kejadian trajis itu tidak berjaya mengaburkan “mata” perundangan Islam ,  kerana keadilan adalah segalanya didalam islam. Oleh itu, mangsa akan dibela oleh Islam, bahkan pembunuh juga akan dipastikan menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya, tanpa menzalimi beliau sedikit pun.

“Sesungguhnya keadilan itu adalah antara nilai-nilai tertinggi dalam islam, kerana menegakkan kebenaran dan keadilan akan membawa kepada ketenangan , menyebarkan keamanan, dan memperkuatkan hubungan sesama manusia. Bahkan memperkuatkan lagi kepercayaan antara penghukum dan pesalah…” [Said Sabiq – Feqh As-Sunnah].

Justeru, kita sebagai anggota masyarakat yang berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam perlu menjadikan diri kita berdisplin dalam mencegah kemungkaran..
Allah SWT berfirman :

Maksudnya : “Wahai orang beriman, jadilah kamu kelompok yang berpegang teguh dengan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan, Adillah! Sesungguhnya keadilan itu paling hampir dengan ketaqwaan, bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah lebih mengetahui dengan mendalam setiap apa yang kamu lakukan”. [Al-Maidah : 8].

Ayat Al-Quran diatas telah dijelaskan dengan ringkas, padat dan mudah difahami oleh Imam Muhammad bin Jamaluddin al-Qasimi :

“Ayat ini menunjukkan kewajipan menjalankan tugasan menyuruh kearah kebaikan dan melarang dari berlakunya kemungkaran, serta menegakkan kebenaran … , begitu juga dalam meberikan fatwa, ianya mestilah menyatakan kebenaran tanpa mengira musuh mahupun rakan, malahan beliau tidak boleh mengitu hawa nafsunya.”[Tafsir Al-Qasimi].

Secara umumnya, keadilan haruslah ditegakkan dalam apa jua keadaan sekalipun, samada kita berada dikalangan orang yang menghukum mahupun kita dari kalangan saksi perbuatan kemungkaran.

Kuasa Hukuman

Lihat pula hadis yang acapkali diperdengarkan kepada kita ini..

عن أبي سعيد الخدري قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان . رواه مسلم

Daripada Abi Said Al-Khudri RA berkata : aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 “Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka wajib baginya untuk mencegah dengan tangannya, jika beliau tidak mampu, maka cegahlah dengan kata-katanya, jika beliau tidak mampu juga, maka cegahlah dengan hatinya(membenci), sesungguhnya mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman.” [Hadis riwayat Imam Muslim: 49].

Tugasan mencegah kemungkaran dengan hati/ perasaan benci dan ucapan lisan/ kata-kata seperti berunding dengan orang berkaitan, menulis dengan menyatakan kebenaran tanpa diselaputi fitnah dan pembohongan tidak menjadi masalah jika dilakukan oleh individu mahupun kumpulan tertentu..  bahkan , kadangkala, ianya merupakan wasilah terbaik dalam menyelesaikan permasalahan pencegahan kemungkaran. Tetapi masalah yang besar akan berlaku apabila pencegahan yang hendak dilakukan melibatkan anggota badan seperti tangan atau anggota zahir yang lain jika tidak dafahami dengan baik , kerana ianya diterjemahkan sebagai “kuasa pemerintahan” oleh ilmuwan Islam.

Seorang ayah berkuasa atas keluarganya, seorang majikan berkuasa atas pekerjanya, dan hakim berkuasa atas penjenayah.  Justeru, seorang yang hendak membela dengan melibatkan anggota badan perlu menerima tauliah / kebenaran dari pihak yang berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan. Pendapat ini disepakati oleh Imam Nawawi RH dan Sayyid Sabiq RH.

Oleh itu, hukuman kepada pesalah tidak boleh dijatuhkah dengan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran pihak berkuasa, ianya adalah urusan khusus yang wajib diikuti peraturannya.

Sayyid Sabiq RH berkata :
“Barangsiapa yang bukan dari kalangan ahli hukum maka diharamkan baginya untuk menjalankan hukuman, jika beliau mejalankan juga hukuman tersebut, beliau akan mendapat dosa, tanpa mengira status hukuman tersebut tepat dari hukum syarak ataupun tidak”. [Feqh As-Sunnah].

Mengapa Kita Perlu Berdisiplin?

Selain dari menegak keadilan kepada semua pihak, berdisplin dalam mencegah kemungkaran perlu diterapkan didalam semangat perjuangan kita bagi menjamin kefahaman yang jelas terhadap hukuman Islam. Sebilangan kelompok di Malaysia telah sekian lama melaungkan slogan Islam, namun, sehingga kini, masyarakat Malaysia masih belum dapat memahami bagaimanakah keadilan yang dibawakan oleh negara Islam, malahan, orang Islam sentiasa dikenali dengan sifat bengis, suka menghukum dan tidak harmoni.
Kefahaman ini semakin subur disebabkan orang Islam itu sendiri. Kebanyakkan kita hanya suka melaungkan slogan tanpa mempraktikkan disiplin dalam beramal.
Sebetulnya, Islam harus difahami sebagaimana yang difahamkan oleh Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya ,Usul ad-dakwah :

“Islam adalah jiwa sebenar manusia dan menjadi panduan petunjuk dalam menjani kehidupan, bahkan, islam merupakan ubat yang lengkap menyembuhkan segala penyakit-penyakit manusia, ianya juga merupakan jalan kebenaran yang tidak akan sesekali menyesatkan orang yang mengikutinya..”

Tuntasnya, kita perlu berdisiplin dalam melakukan sebarang tindakan, samada tindakan tersebut berkaitan dengan individu mahupun kumpulan tertentu. Semoga, dengan usaha kita berusaha memahami Islam dengan kefahaman yang betul dan tepat, Islam dapat disebarkan dengan seluas-luasnya keseluruh pelusuk alam. Semoga Allah membantu kita.

“Islam tidak ditegakkan dengan emosi dan perasaan tidak berpuas hati, tetapi ditegakkan atas nama keadilan “.

Saya Mesti Muslim Dari Sudut Akhlak

Sebelum pergi lebih lanjut, pernah atau tidak terlintas dalam benak kepala anda beberapa persoalan seperti, kenapa akhlak? Penting sangat ke? Mana lebih penting berbanding ilmu pengetahuan? Bukankah wahyu pertama yang diturunkan adalah tentang ilmu pengetahuan, bukannya akhlak? Kenapa pula kita kena belajar tentang akhlak muslim?

Ok. Saya ingin membawa anda semua kepada sebuah bentuk pemahaman baru. Sebenarnya bukanlah baru itu bermaksud baru, tetapi perkara itu telah lama wujud. Cuma ingin diterjemahkan dalam bentuk pemahaman terkini. Saya percaya semua sudah tahu, hanya tidak sedar sahaja.

Saya bermohon kepada Allah s.w.t. agar sesiapa yang membaca tulisan saya ini, di mana-mana sahaja, agar kita sama-sama dibukakan hati oleh-Nya dan dilapangkan dada serta dipermudahkan setiap urusan dunia mahupun akhirat.

Matlamat Utama Nabi Muhammad s.a.w. Dibangkitkan

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْأَخْلَاقِ

“Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (HR Imam Malik)

Sila renung dan teliti betul-betul maksud hadith di atas.

Betul ke matlamat utama Nabi s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak? Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman bahawa Nabi s.a.w. ini diutuskan sebagai rahmat sekalian alam, bukan akhlak semata-mata?

Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam.”

Saya ingin mengajak anda semua untuk berfikir bersama saya. Bayangkan, seandainya sesebuah masyarakat itu diselubungi dengan penipuan, tipu daya, pecah amanah, dan keruntuhan moral, adakah di sana akan wujud rahmat dalam masyarakat?

Bagaimana pula dengan keadaan kaum kerabat dan keluarga yang dipenuhi rasa kebencian, hasad, dan dendam, justeru di manakah rahmat?

Percayalah, sesungguhnya hubungan antara akhlak dan rahmat itu adalah hubungan erat lagi kukuh. Ketahuilah juga bahawa tidak akan wujud rahmat sekalian alam tanpa adanya akhlak.

Anda setuju dengan kenyataan saya?

Mungkin ada dalam kalangan anda akan menjawab, “Saya setuju dengan hadith berkenaan akhlak di atas, tetapi ibadat itu lebih utama. Adakah penulis ingin menyatakan bahawa akhlak itu lebih penting berbanding solat, puasa, zakat, dan haji?”

Baiklah. Dengar pula jawapan saya. Ya, akhlak lebih penting.

Kenapa? Kerana tanpa kita sedar setiap amal ibadat itu sebenarnya bertujuan untuk mendisiplin akhlak. Jika tidak, jadilah ibadat itu umpama senaman badan semata-mata!!

Saya pohon kepada semua agar fahami betul-betul intipati kalam saya. Jangan dirumitkan. Saya tidak bermaksud untuk merumitkan perbincangan ini dengan hal-hal yang melibatkan Fiqh, Akidah, dan sebagainya. Saya hanya ingin anda faham maksud akhlak dari persepsi yang lebih luas.

Solat Membentuk Akhlak

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-‘Ankabut, ayat 45:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ

“..dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu (dapat) mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.”

Subhanallah!!

Justeru, sesiapa yang masih melakukan perbuatan keji dan mungkar itu ternyata solat mereka itu hanyalah sekadar senaman yang memenatkan semata-mata. Buktinya ialah akhlak mereka bertambah buruk.

Bukankah perbuatan keji dan mungkar itu adalah akhlak buruk? Iaitu bukan akhlak (perbuatan) yang Islam kehendaki.

Allah s.w.t. telah menyebut dalam sebuah hadith qudsi;

إنما أتقبل الصلاة ممن تواضع بها لعظمتي، ولم يستطل بها على خلقي، ولم يبت مصرا على معصيتي، وقطع النهار في ذكري، ورحم المسكين وابن السبيل ورحم الأرملة ورحم المصاب

“Sesungguhnya Aku menerima solat daripada orang yang merendahkan diri (tawaduk) kerana kebesaran-Ku dan tidak berlaku sombong terhadap makhluk-Ku dan tidak terus-menerus melakukan maksiat kepada-Ku. Dan dia menghabiskan hari siangnya dalam ingat kepada-Ku (zikrullah), dan dia sayang kepada orang yang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan belanja dalam perjalanan) dan janda (yang kematian suami) dan sayang kepada orang yang ditimpa musibah.” (HR az-Zabidi)

Lihatlah hubungan antara solat dan akhlak (tawaduk dan kasihan belas). Seterusnya, fahamilah bahawasanya sekiranya solat anda itu tidak mampu untuk menjadikan anda seorang yang tawaduk dan mengasihani sesama makhluk, maka di sana solat itu adalah sia-sia dan langsung tidak membuahkan sebarang hasil yang sempurna.

Adab Bergurau

Klik Pada gambar untuk paparan yang lebih baik

Kehidupan seseorang tidak boleh lari dari dua tanggungjawab. Tanggungjawab itu adalah “حبل من الله ” dan

“حبل من الناس” . Dalam konteks kehidupan persekitaran di asrama, tanggungjawab yang kedua amat di titik beratkan. Mana tidaknya, 24 jam sehari kehidupan sebagai pelajar di asrama kita tidak boleh lari dari bersemuka dengan insan yang bergelar kawan, sahabat, adik, abang, kakak, dan macam-macam lagi gelaran yang ada.

     Post kali ini, Admin nak membawa sahabat semua musabah diri. kekadang diri ini sering kali terlanjur dalam menjaga adab-adab ketika bergaul atau lebih bersahaja lagi ketika bergurau senda. Adab yang hendak di ketengahkan ini bukanlah adab kita dalam berguru atau menuntut ilmu tetapi lebih kepada adab menjaga hubungan “حبل من الناس” dalam persekitaran kehidupan pelajar di asrama.

       Adab ini perlu di ambil ihtimam kerana soal hati dan perasaan kita tidak ketahui apa kandungan rahsianya. Apa yang mampu adalah kita perlu menjaga beberapa adab agar suasana yang terbina di sekolah mahupun di asrama lebih harmonis dan di berkati oleh Allah akan hubungan yang terbina insyaAllah. Ukhuwah Fillah.

Mari kita ikuti adab-adab ini :

1- Jaga Agama :

Jangan persenda nama Allah dan Rasulullah.

Contohya : Sumpah aku tak buat, ek-eleh ko ni..Wallahi bukan aku laaaahhh…

2- Hormati Orang Lain :

Jangan mencaci, merendah-rendahkan kawan mahupun sahabat. setiap kita ada kelebihannya.

Contohnya : bajet la ko ni, relex la..Macam bagus jer..Aku main-main je..

3- Hormati Orang yang Lebih Berumur :

Yang kecil (junior) sayangi yang dewasa, yang dewasa (senior) kasihi yang kecil.

4- Jaga Syariat :

Jangan bergurau dengan mereka yang bukan mahram. islam tidak menghalalkan adat. jangan kuatiri kawan mengatakan kita sombong kerana yang haram tetap haram disisi syariat.

5- Sentiasa Bercakap Benar. :

Jangan berbohong walaupun semata-mata untuk mengembirakan hati seseorang.

6- Jangan Ketawa Berlebihan :

Ini juga termasuk perintah Allah dalam surah at-Taubah ayat : 82

7- Kena waktu dan Tempatnya :

jangan masa kawan tengah sakit, tengah tidur, tengah dalam tandas atau buang hadas dan yang seumpama dengannya.

8- Bergurau Biar Berpada-pada :

Agak-agak la kalau nak bergurau tuh..k..

Contohnya : Main tolak kepala, buat dajjal ketika tidur, dan sebagainya.

Selamat Mencuba

Risalah Ilmiah Siri ke-3 2012

Klik pada paparan untuk melihat lebih jelas

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah kerana dengan izin-Nya jua risalah ilmiah buat edisi yang ke-3 tahun 2012 berjaya disiapkan. Moga-moga dengan usaha yang kecil ini diangkat oleh Allah sebagai suatu amal soleh ketika hidup di dunia yang membawa ganjaran kebaikan di akhirat nanti insyaAllah.

Selamat beramal dengan sunnah baginda Rasulullah S.A.W.

Risalah Ilmiah Siri ke-2 2012

Klik pada paparan untuk melihat lebih jelas

Risalah ini diterbitkan adalah bertujuan untuk dijadikan sebagai bahan edaran bagi meluaskan lagi kefahaman sahabat-sahabat Mitst Klang terhadap Kempen Sunnah yang di laksanakan bersempena dengan Sambutan Maulidur-Rasul 1433H. Risalah ini merupakan Risalah siri ke-2 dalam tahun 2012 selepas edaran risalah yang pertama pada 31 Januari 2012.